Akukah Pejuang itu?


Jika semua pepasir enggan dipukul ombak,
pasti tak akan terwujudnya pantai!

 “awakla..” jawapan ringkas itu telah membuatkan aku berfikir sejenak. Terdiam. Perbualanku bersama temanku pada petang itu berkisar tentang perjuangan, berkisar tentang hidup bermujahadah. Melihat kepada senario kebejatan sosial masyarakat pada hari ini sudah membuatkan aku jadi risau, risau bagaimana generasi akan datang bakal menempuh kehidupan dalam dunia tanpa sempadan ini. Inilah realitinya, ikhtilat antara rijal dan nisaa’ bukan lagi suatu isu, bahkan jika dibangkitkan mengenai isu itu kita pula bakal disangkal dianggapnya berfikiran dangkal.

Bukan sangkalan insan yang aku takutkan, tetapi maslahah yang aku perjuangkan, melihatkan yang lebih awla sementara mencari uslub yang mengena agar penyampaianku tidak terjera. Teringat aku akan kisah seorang sahabatku yang menegur seorang rakannya secara direct, kerana pada pandangannya perbuatan rakannya itu sememangnya wajar ditegur. Itu memang sifatnya, seorang yang tegas dan factual. Itulah kualiti yang ada pada dirinya. Namun lain yang diniatkan lain pula yang menjadi, apabila rakan yang ditegur mula menjarakkan diri, pada mulanya seakan-akan dapat menerima tapi hakikatnya makin jelas menyata. Rakannya itu menolak tegurannya, sehinggakan mereka tidak bertegur sapa. Diadukan hal ini kepadaku, kecewa membungkam di dada.

Aku faham benar dengan apa yang dirasa kerana aku juga pernah merasakan yang sama, biahnya mungkin tak sama tetapi isu benda yang serupa- teguran, nasihat tidak diterima. Alhamdulillah..mungkin pendekatan yang kugunakan kurang mengena, telahku. 

Buat sang sahabat hanya yang mampu kukatakan, “bersabarlah, kerana Allah SWT bersama- sama dengan orang yang sabar” (al-Baqarah:153), kurenung wajah beningnya kukatakan padanya, “kita hanya berusaha meyampaikan, namun menerima atau tidak itu bukan hak kita untuk menentukan. Walau macam manapun usaha enta ada nilaiannya di mata Allah SWT, insyaAllah”. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 56,
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”

Sahabatku kembali tersenyum. Tenang barangkali. Inilah mukjizat yang terdapat dalam al-Quran, hembusan ayat-ayat sakinahnya mampu memujuk jiwa yang keresahan. Subhanallah.  
Berbalik kepada perbualanku dengan sahabatku tadi, aku pelik dan agak terkejut dengan jawapan bersahajanya ‘awaklah..??’. kurenung wajahnya mencari pengertian. “kenapa hanya saya? Bagaimana dengan awak?”, soalku kembali setelah lama perbualan kami dibiarkan sepi diisi dengan desiran angin petang, begitu mendamaikan dengan suasana bukit bukau yang menghijau. Mengingatkan akan gambaran syurga yang digambarkan dengan begitu banyak berlatar belakangkan warna hijau.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah ar-Rahman:
“Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua). Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Kedua-duanya menghijau subur tanamannya”
                                                                                                           (ar-Rahman:62-64)

“Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah”
                                                                                                             (ar-Rahman:76)

“sebab awak layak..berbanding saya awak lebih banyak yang tahu daripada yang tak tahu, mungkin semua benda awak tahu”, jawapan sahabatku itu telah mengejutkan aku dari dibuai keasyikkan indahnya ciptaan Ilahi.

Aku menggeleng-gelengkan kepalaku, begitu rupanya tafsiran sahabatku ini terhadapku, aku tidak pasti sama ada ianya komentar ikhlas ataupun sindiran pedas, namun aku memilih untuk berhusnu zann.

Wahai sahabat andai kau tahu,
aku juga sepertimu..
tercari- cari arah yang hendak dituju
bermujahadah mencari bekalan ilmu
tidak banyak yang aku tahu
bahkan makin banyak yang kutimba makin ku sedar betapa jahilnya aku

untaian madah bermain dimindaku. Andai sahaja sahabatku ini bisa mentafsir pandangan mataku. Keluhan panjang kulepaskan, pandangan mataku tidak lagi tertumpu pada wajah berkumis nipis itu.

“awak jangan salah faham, maksud saya ikhlas.. jujur saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari, dalami. Walaupun asal saya dari biah islami, tapi ghoflah duniawi telah merantai hati, begitu lama saya menyepi dari menghadiri majlis-majlis ilmiah”. Keluhan panjang dilepaskan dihujung ayatnya.

Uzair Talhah, pemuda yang berasal dari negeri di bawah bayu ini kukenali sejak hari pertama minggu orientasi. Begitu bersemangat bermujadah mencari ilmu, merentasi Laut China Selatan. Ketokohannya begitu ketara lantaran asalnya dari sebuah madrasah agama, namun ditengah perjalanannya diuji pula dengan godaan dunia. Syabab ini telah hanyut dalam khayalan semunya bersama cinta seorang wanita jelita, sehinggalah cahaya Ilahi kembali mengetuk pintu qalbunya. Alhamdulillah. Aku tersenyum, merenung wajah sahabatku, Uzair Talhah mengerutkan dahi mungkin aneh dengan eksperesi wajahku. 

Aku memaut bahu kentalnya, “sahabat, awak terlalu hebat untuk mengalah. Kualiti yang ada pada dirimu adalah aset yang diperlukan dalam memperjuangkan islam. Ya.. biarkan epilog silammu berlalu menjadi sejarah, namun nilaian yang ada pada dirimu jangan kau sanggah..”, aku melihat anak matanya bercahaya, mindaku ligat mencari patah ayat yang sesuai untukku naikkan semangat sahabatku ini dari terus mengalah.

“saya sangat kagum denganmu Uzair Talhah kerana kau menjadi pilihan Allah SWT diberikan mehnah kemudian kau diberikan pula hidayah.. bermaksud Allah SWT masih sayangkanmu dan mahu dirimu teruskan kekal berjuang di jalannya, meneruskan tugas menyampaikan risalah-risalah-Nya, kitalah matarantai-matarantai perjuangan islam!”, bersemangat kedengarannya barangkali, tetapi itulah niatku agar tertiupnya hembusan semangat ke dalam jiwa anak muda ini. 

“hidup ini adalah suatu perjuangan, kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, namun di situlah Allah SWT ingin menguji. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 2
“patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman’, sedang mereka tidak diuji?”

Ya.. itulah sydrome yang sering dihidapi manusia, tatkala diuji, acapkali lemah, rebah. Sedangkan ujian-ujian itu adalah ‘peperiksaan’ buat manusia bagi menguji sejauh manakah keimanan dan ketaqwaan mereka yang mengaku bahawa dirinya beriman. Ujian-ujian yang menimpa itu pula tidak pula diberikan melebihi daripada kemampuan insan itu sendiri.
Bukankah Allah SWT telah berjanji bahawa setiap ujian yang diberikan kepada hamba-Nya itu tidak akan melebihi kudratnya? lantas siapakah yang lebih mengetahui kemampuan kita melainkan yang Maha Mencipta? lantas mengapa masih diragui?

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahkannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".  (al-Baqarah:286)

“sahabat.. gagahkan kakimu, teruskan apa yang telah engkau pejuangkan. Jangan engkau kembali futur..”, nasihat berupa harapan kuluahkan buat sahabatku, semoga dia dihembuskan kembali dengan semangat fisabilillah. Aku berpaling kearahnya, jauh pandangannya dilemparkan kehadapan membelah hamparan hijau bukit bukau yang terbentang di hadapan kami. Aku kembali menikmati permandangan hijau yang mendamaikan ini. Barangkali Uzair Talhah turut sama merasakan mawaddah yang sama kurasai. 

“subhanallah..”, terdengar bisikan halus dari anak muda berhati waja ini, walaupun pelahan, namun dapat kutanggapi dengan jelas. Aku tersenyum sendiri, ‘Alhamdulillah.. sesungguhnya hidayah itu milik Allah..’, monologku di dalam hati. “I’ve choose this way and i will continue with this way, jalan mujahadah!”, Uzair Talhah menghadapku, “Alhamdulillah.. welcome back ya akhi, semoga kita sentiasa beristiqomah di jalan ini”, ujarku. Kami saling berpelukkan, Insya-Allah pelukkan ukhuwah yang terbina atas jalan mencari mardhotillah.

Ya Allah sesungguhnya hidayah itu milik-Mu
Kau limpahkanlah petunjuk-Mu
agar kami tidak terperangkap di alam semu
lantas diri ini hanya berbekalkan iman senipis kulit bawang
amalan yang tidak sampai walau sebesar zarah
Ya Allah nikmat-Mu melangit luas
namun sedikit yang aku bersyukur
maghfirah-Mu melimpah ruah
namun taubatku tak pula kutepati
Ya Allah ampunilah hamba-Mu yang lemah dan hina ini..
hanya pada-Mu kuhadapkan diri
mohon keampunan





sekian~

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Road Not Taken by Robert Frost

I Don't Love You - My Chemical Romance

Kem Cemerlang Akademik dan Sahsiah di Kurau Stone